Khamis, Januari 15, 2009

Saya Wajib Meyakini Bahawa Masa Depan Itu Untuk Islam! - Kegagalan Sistem Manusia

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa kita haruslah mengetahui dan menginsafi kegagalan sistem ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat, sama ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi, ini adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ia adalah dari ciptaan insan yang semestinya hina di sisi Allah Taa'la.

Kegagalan Sistem Sosial

Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan atau kiri, telah ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang ditanggung oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan kekeluargaan semakin terburai, kasih sayang semakin pudar, akhlak semakin luntur dan runtuh. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangategoistik dan mementingkan diri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.

Kegagalan Sistem Ekonomi

Dalam bidang ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.

Kegagalan Sistem Politik

Dalam arena politik sistem-sistem ala ketenteraan, Demokrasi, Republik, yang beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab melahirkan, merangsang serta membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa besar diri dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta bunuh diri (assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.

Kegagalan Sistem Ketenteraan

Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa) mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan Palestine dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri Arab yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan politiknya untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan untuk menjamin kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga bertanggungjawab terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah yang membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir Israel dari bumi Palestine.

Selasa, Januari 13, 2009

Saya Wajib Meyakini Bahawa Masa Depan Itu Untuk Islam! - Kenapa?

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa peringkat keimanan kita haruslah sampai kepada matlamat meng'islam'kan masa hadapan. Ini adalah kerana: 

1. Manhaj Islam itu bersifat Rabbaniyyah (Ketuhanan)

Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat. 

 2. Manhaj Islam itu bersifat Alamiyyah (Sejagat)

Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.

3. Manhaj Islam itu bersifat Murunah (Fleksibel)

Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya. 

4. Manhaj Islam itu bersifat Syumuliyyah (menyeluruh)

Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.

Isnin, Januari 12, 2009

Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri! - 'Pintu' Syaitan Dan Halangannya

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa syaitan menghasut manusia melalui 10 pintu (seperti berikut) dan terdapat berberapa cara untuk menghalangnya. Di antaranya adalah:

1. Buruk Sangka (Su'u Dzon)

Hadapilah ia dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada. 

2. Cintakan Dunia (Hubbu Dunya)

Hadapilah ia dengan perasaan takut (ingat) terhadap maut yang datang pada waktu itu.

3. Cintakan Kemewahan

Hadapilah ia dengan keyakinan bahawa nikmat itu membahayakan (membawa kepada kelalaian) dan akan hilang (tidak kekal).

4. Bangga Dengan Diri (Ujub)

Hadapilah ia dengan rasa terhutang budi pada Allah Ta'ala. 

5. Memandang Rendah Terhadap Orang Lain

Hadapilah ia dengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.

6. Dengki (Hasad)

Hadapilah ia dengan sifat berpada-pada (qana'ah) dan redha terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala.

7. Suka Menunjuk-nunjuk Kebaikan (Riya')

Hadapilah ia dengan melakukan sesuatu itu dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala.

8. Kedekut (Bakhil)

Hadapilah ia dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk itu tidak kekal, yang kekal hanya Allah Ta'ala.

9. Sombong (Takabbur)

Hadapilah ia dengan rasa tawadhu' kepada Allah Ta'ala.

10. Tamak

Hadapilah ia dengan mempercayai bahawa ganjaran daripada Allah adalah lebih baik dari segala-galanya. 

KUBU PERTAHANAN

Diantara cara-cara lain untuk dijadikan sebagai 'kubu pertahanan' bagi menghadapi tipu daya syaitan adalah seperti berikut:

1. Jangan terlalu kenyang apabila makan dan minum walaupun daripada makanan dan minuman yang halal dan baik (Rujuk Surah Al-A'raaf: Ayat 31)

2. Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah Ta'ala dan memohon keampunan-Nya. (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Dunya)

3. Tidak tergesa-gesa dalam sesuatu pekerjaan (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Abi shaibah, Abu Ya'la dan Al-Baihaqi)

Ahad, Januari 11, 2009

Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri! - Jiwa Yang Tewas

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan 2 tanda-tanda jiwa yang tewas dengan nafsunya seperti berikut:

1. Apabila mereka melakukan kejahatan

Syaitan akan menjadi teman karibnya apabila benteng dan kekuatan Iman manusia runtuh. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:
"Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhanku) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat untuk menghalangi mereka (menghasut supaya membuat kerosakan) daripada mengikuti jalan yang lurus. Kemudian aku datangi dari belakang mereka dan dari kiri dan kanan mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakannya yang bersyukur."
(Surah Al-Anfal: Ayat 16-17)

2. Apabila mereka merasa was-was terhadap pilihan mereka

Syaitan akan membuatkan manusia ragu-ragu akan pilihannya sama ada mereka perlu melakukan kebaikan itu ataupun tidak. Ini adalah di antara penyakit yang berbahaya apabila hati mula melupai Allah Ta'ala.

Rasulullah S.A.W. bersabda, yang bermaksud:
"Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia akan menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: "Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan nenek-moyangmu?". Anak Adam enggan mengikutnya dan tetap berpegang dengan Islam....... Kemudian Rasulullah bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian, kemudian ia mati, maka adalah hak Allah Ta'ala untuk memasukkannya ke dalam Syurga."
(Hadith riwayat An-Nasai)

Sabtu, Januari 10, 2009

Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri! - Sendi 'Mujahadah'

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah meletakkan hati dan akal sebagai sendi-sendi kekuatan dalam memerangi nafsu:

Sendi kekuatan pertama: HATI

Hati akan menjadi benteng yang paling kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu bersih, hidup dan sentiasa mengingati Allah Ta'ala, Allah menyukai hati-hati seperti ini. Saidina Ali k.w.j pernah berkata:
" Hati seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam dan berpenyakit."

Allah menggambarkan hati orang MUKMIN di dalam Al-Quran, mafhumnya:
" Orang-orang yang beriman itu (yang sempurna Imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya), gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka Ayat-Ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah imannya..."
(Surah Al-Anfal: Ayat 2)
Allah juga menggambarkan hati orang KAFIR di dalam Al-Quran, mafhumnya:
" Kerana keadaan yang sebenar (adalah) bukanlah mata (di kepala) yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada..."
(Surah Al-Hajj: Ayat 46)
Sendi kekuatan kedua: AKAL

Akal adalah (ciptaan Allah) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu kefahaman dari ilmu-ilmunya, kelak ilmu itu akan digunakan untuk menghampirkan diri dengan Allah Ta'ala. 

Firman Allah Ta'ala, mafhumnya:
"Sesungguhnya orang yang bimbang (takut melanggar perintah) dengan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama' (orang-orang yang berilmu)..." 
(Surah Al-Fatir: Ayat 28)
Oleh kerana akal mempunyai nilai yang tinggi, maka Islam menganjurkan agar akal diisi dengan ilmu dan makrifat serta mendalami segala urusan keagamaan agar dapat memandu segala tindakan dan mampu membezakan antara Hak dan Batil.

Jumaat, Januari 09, 2009

Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri! - Pertarungan Jiwa

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah meletakkan 3 golongan manusia yang berada di dalam pertarungan menghadapi nafsu seperti berikut:

1. Golongan yang tunduk kepada hawa nafsu mereka

Mereka ini adalah orang-orang kafir dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai nikmat Allah Ta'ala, lalu Allah juga membiarkan mereka. (Rujuk Surah Al-Jathiyah: Ayat 23)

2. Golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang nafsunya

Mereka in kadangkala mencapai kemenangan, dan adakalanya mereka juga kecundang. Apabila mereka melakukan kesalahan, mereka segera bertaubat. Apabila mereka melakukan kesalahan, mereka segera sedar dan menyesal serta memohon keampunan Allah Ta'ala. (Rujuk Surah Ali Imran: Ayat 135)

3. Golongan yang terpelihara daripada kejahatan nafsunya (maksum) 

Golongan ini hanya merujuk kepada golongan Nabi dan Rasul yang terpelihara daripada melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala.

KESIMPULAN

Dikisahkan oleh Wahab bin Munabbih bahawa sesungguhnya Nabi Allah Zakaria a.s pernah bertemu iblis. Baginda bertanya:
"Ceritakan kepadaku tabiat manusia menurut pendapat kamu?"
Iblis berkata:
"Pertama, golongan itu adalah seperti kamu (maksum). Kedua, golongan yang berada dalam genggaman kami seperti bola di tangan anak-anak kamu. Mereka menyerah diri bulat-bulat kepada kami (kafir). Ketiga, golongan yang sangat sukar kami perdayakan. Apabila kami berjaya, mereka segera sedar dan memohon keampunan Allah Ta'ala"
Moga kita menjadi hamba-hamba Allah yang soleh.

Khamis, Januari 08, 2009

Saya Mestilah Muslim Terhadap Ahli Keluarga Saya! - Mendidik Anak

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menyatakan bahawa perkara yang menjamin kepada pendidikan anak-anak secara Islam adalah dengan melihat kepada pelaksanaan perkahwinan antara ibu dan bapanya sama ada mengikut Syariat ataupun tidak. 

Ini adalah kerana, hakikat sebuah Baitul Muslim adalah untuk membina generasi yang soleh. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:
 "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu adalah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: " Wahai Tuhan kami, berilah (kepada) kami daripada isteri-isteri kami dan zuriat-zuriat kami (sebagai) penyejuk mata dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang bertakwa." "
 (Surah Al-Furqan: Ayat 74)

KESIMPULAN

Anak-anak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah. Ia akan menjadi seorang yang soleh sekiranya menerima didikan yang baik. Sebaliknya, jika ia dididik dalam suasana yang terpesong daripada Syariat Islam, ia akan jadi sebaliknya. Oleh sebab itu, Rasulullah sangat memandang berat terhadap kepentingan pendidikan anak-anak.

Rabu, Januari 07, 2009

Saya Mestilah Muslim Terhadap Ahli Keluarga Saya! - Selepas Perkahwinan

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 3 tanggungjawab selepas berumahtangga sebagai syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam terhadap ahli keluarganya seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu berbuat baik terhadap isterinya dan memuliakan isteri dalam hubungan serta saling percaya-mempercayai di antara satu sama lain. (Rujuk Hadith riwayat Tirmizi daripada Aisyah)

2. Setiap Muslim itu tidak menjadikan isterinya sekada tempat melepaskan syahwat, tetapi perlu kepada menjalinkan kebersamaan dalam ibadah dan kesefahaman yang berpanjangan dalam pemikiran dan kasih sayang. (Rujuk Surah Toha: Ayat 132)

3. Setiap Muslim itu akan memastikan hubungan suami isteri tidak melanggari batas-batas Syariat sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Islam.

Selasa, Januari 06, 2009

Saya Mestilah Muslim Terhadap Ahli Keluarga Saya! - Sebelum Perkahwinan

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 5 tanggungjawab sebelum berumahtangga sebagai syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam terhadap ahli keluarganya seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu memastikan bahawa perkahwinannya kerana Allah Ta'ala. Dalam erti kata yang lain, tujuan perkahwinan itu adalah untuk membina Baitul Muslim, melahirkan zuriat yang soleh dan menjadi keluarga yang sentiasa melaksanakan perintah Allah Ta'ala secara berterusan.

2. Setiap Muslim itu memastikan bahawa tujuan perkahwinannya adalah untuk memelihara pandangan dan kemaluan dari melakukan maksiat serta bertakwa kepada Allah Ta'ala. (Rujuk Hadith riwayat Tirmizi)

3. Setiap Muslim itu memilih bakal isteri yang terbaik untuk menjadi teman kehidupan dan perjuangan. (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Majah dan riwayat Abu Mansur Ad-Dailami sepertimana di dalam Musnad Firdaus)

4. Setiap Muslim itu memilih bakal isteri yang baik akhlak dan pegangan agamanya walaupun tidak cantik dan tidak berharta. (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Majah)

5. Setiap Muslim itu berhati-hati dalam menguruskan pra-perkahwinannya (sebelum berkahwin) agar tidak menyalahi perintah Allah kerana takut dengan kemurkaan-Nya. (Rujuk Hadith Abu Nuaim)

RINGKASAN 

1. Berkahwin kerana Allah.
2. Berkahwin untuk taqwa kepada Allah.
3. Memilih isteri yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup.
4. Memilih isteri yang soleh dan beragama.
5. Berhati-hati mengurus pra-perkahwinan kerana taqwa kepada Allah.

Isnin, Januari 05, 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akhlak!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 10 syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam dari sudut akhlak seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu bersifat wara' dari melakukan perkara-perkara syubhat. Wara' bermaksud meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi satu kesalahan apabila melakukannya, tetapi ia meninggalkan perkara itu kerana sikap berhati-hati dari terjerumus dari melakukan kesalahan.

2. Setiap Muslim itu memelihara penglihatannya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah Ta'ala kerana mampu membawa kepada maksiat.

3. Setiap Muslim itu memelihara percakapannya dari menyatakan perkara-perkara maksiat dan tidak berfaedah.

4. Setiap Muslim itu bersifat pemalu dalam setiap keadaan, tetapi tidaklah menghalangnya dari memperkatakan kebenaran.

5. Setiap Muslim itu bersifat sabar dan lemah-lembut dalam menghadapi kesusahan dan musibah yang diterima.

6. Setiap Muslim itu bersifat benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah Ta'ala dan tidak takut kepada celaan manusia.

7. Setiap Muslim itu bersifat rendah diri terhadap saudaranya dan tidak membezakan (dalam memberi layanan) mengikut kedudukan dan pangkat.

8. Setiap Muslim itu menjauhi sangka buruk, mengumpat dan tajassus (mencari-cari keaiban orang lain).

9. Setiap Muslim itu bersifat pemurah dan sanggup mengorbankan jiwa dan hartanya ke jalan Allah Ta'ala.

10. Setiap Muslim itu menjadikan dirinya Qudwah Hasanah (ikutan yang baik) kepada orang ramai kerana dirinya adalah gambaran kepada prinsip dan adab dalam Islam.

RINGKASAN

1. Wara' dari perkara syubhat.
2. Memelihara penglihatan dari maksiat.
3. Memelihara percakapan dari maksiat.
4. Pemalu.
5. Sabar dan lemah-lembut.
6. Benar.
7. Merendah diri.
8. Bersangka baik, tidak mengumpat dan tidak tajassus.
9. Pemurah.
10. Menjadi ikutan yang baik.

KESIMPULAN

Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama dalam ajaran Islam. Ia bertepatan dengan keberadaan Rasulullah S.A.W. yang ditugaskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia. Kemuliaan akhlak juga adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya. Seorang itu tidak dikira beriman dengan sempurna sekiranya tidak berakhlak mulia.

Ahad, Januari 04, 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut 'Ibadah!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 7 syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam dari sudut ibadah, seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu memastikan agar ibadahnya mempunyai hubungan dengan Allah Ta'ala (bersifat ihsan).

2. Setiap Muslim itu melakukan ibadah dengan penuh khusyuk, sehingga memperolehi kemanisan beribadah dan mendatangkan kekuatan untuk melakukan ibadah secara berterusan.

3. Setiap Muslim itu melakukan ibadah dalam keadaan hati yang merasai kehadiran Allah Ta'ala, dengan melupakan hal-hal keduniaan yang menyibukkan.

4. Setiap Muslim itu beribadat dalam keinginan untuk menambahnya dari semasa ke semasa kerana merasai ketidakcukupan amal ibadah untuk menghadap Allah Ta'ala. Oleh kerana itu, setiap Muslim akan menghampirkan diri dengan melakukan ibadah sunat.

5. Setiap Muslim itu mengambil berat terhadap ibadah Qiamullail dan memastikan ia menjadi suatu kebiasaan.

6. Setiap Muslim itu meluangkan waktu-waktu tertentu untuk membaca Al-Quran dengan mentadabbur maksud dan pengajaran terutamanya di waktu Dhuha.

7. Setiap Muslim itu menjadikan doa sebagai perantaraan dirinya dengan Allah Ta'ala di dalam urusan kehidupan. Untuk itu, doa-doa yang ma'thur dari Rasulullah S.A.W. haruslah dijadikan sebagai pilihan utama.

RINGKASAN

1. Ibadahnya bersifat ihsan.
2. Ibadahnya bersifat 'manis' sehingga rasa ingin mengulanginya.
3. Ibadahnya bersifat khusyuk sehingga lupa akan hal-hal keduniaan.
4. Merasai keperluan menambah amal ibadah yang tidak cukup untuk menghadap Allah.
5. Mengambil berat terhadap Qiamullail agar terbiasa.
6. Meluangkan waktu tertentu untuk Al-Quran.
7. Menjadikan doa sebagai perantaraan antara diri dan Allah dalam kehidupan.

KESIMPULAN

Ibadah adalah kemuncak kepada kepatuhan dan kerendahan diri Muslim kepada Allah Ta'ala. Ibadah juga adalah kemuncak dalam merasai keagungan Tuhan yang disembah. Tujuannya satu, untuk medapatkan Redha Allah Ta'ala di dunia dan akhirat.

Sabtu, Januari 03, 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akidah! - Siri 3

(Sambungan)

14. Setiap Muslim itu mengingati Allah dan berzikir menyebut Nama-Nya untuk menjadikan diam seseorang Mukmin itu adalah dalam keadaan berfikir dan bercakap dalam keadaan berzikir. (Rujuk Surah Al-Ra'ad: Ayat 28, Surah Az-Zukhruf: Ayat 36 - 37)

15. Setiap Muslim itu mencintai Allah Ta'ala dengan sebenar-benar cinta sehingga mendorong kepada melakukan amal kebaikan, pengorbanan dan berjihad di Jalan Allah sepanjang masa. Seharusnya tidak ada sesuatupun yang menghalang seseorang Muslim itu daripada mencintai Allah. (Rujuk Surat At-Taubah: Ayat 24)

16. Setiap Muslim itu bertawakkal kepada Allah Ta'ala dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepada-Nya. (Rujuk Surah At-Tholaq: Ayat 3)

17. Setiap Muslim itu bersyukur atas nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala. (Rujuk Surah An-Nahl: Ayat 78)

18. Setiap Muslim itu memohon keampunan Allah Ta'ala (beristighfar) untuk membersihkan dosa di samping memperbaharui taubat dan Iman (Rujuk Surah An-Nisa' : Ayat 110)

19. Setiap Muslim itu bermuraqabah (merasai pengawasan) dengan Allah Ta'ala sama ada di dalam keadaan terang mahupun tersembunyi. (Rujuk Surah Al-Mujadalah: Ayat 7

RINGKASAN 

1. Beriman bahawa Allah Maha Pencipta.
2. Beriman bahawa apa yang diciptakan oleh Allah mempunyai tujuan.
3. Beriman bahawa Allah mengutuskan para Rasul dan menurunkan Kitab.
4. Beriman bahawa matlamat penciptaan manusia adalah untuk mengenal Allah.
5. Beriman bahawa ganjaran syurga untuk orang soleh dan neraka bagi mereka yang kufur.
6. Beriman bahawa manusia mempunyai pilihan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan dengan izin Allah.
7. Beriman bahawa penetapan undang-undang adalah hak mutlak Allah.
8. Berusaha mengetahui Nama-Nama Allah dan Sifat-Sifat Allah Yang Maha Sempurna.
9. Berfikir tentang kehebatan penciptaan Allah bukan mengenai Zat Allah.
10. Mengetahui bahawa Sifat-Sifat Allah yang Sempurna yang tidak terbatas dengan fikiran manusia terdapat di dalam Al-Quran.
11. Meyakini pandangan Salaf dalam mentafsir sesetengah ayat Al-Quran berbanding Khalaf.
12. Mengabdikan diri pada Allah semata-mata.
13. Takut kepada kemurkaan Allah.
14. Mengingati Allah dan berzikir kepada-Nya.
15. Mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta.
16. Bertawakkal kepada Allah dalam setiap keadaan.
17. Mensyukuri nikmat dan rahmat Allah.
18. Memohon ampun kepada Allah untuk membersihkan diri daripada dosa.
19. Sentiasa bermuraqabah dengan Allah.

KESIMPULAN 

Berpegang dengan Aqidah adalah syarat utama bagi sesesorang Muslim. Pegangannya mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Al-Hadith dan apa yang diimani oleh para Salafus Soleh.

Jumaat, Januari 02, 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akidah! - Siri 2

(Sambungan)

7. Setiap Muslim itu beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang adalah Hak Mutlak Allah Ta'ala dan manusia tidak boleh mendahului dan membelakangkannya. Apa yang dibolehkan adalah apabila para fuqaha' Islam khususnya para Ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hakam daripada nas-nas Syari'at dengan mengikut batas-batas yang diizinkan. (Rujuk Surah Asy-Syura: Ayat 10)

8. Setiap Muslim itu berusaha mengetahui Nama-Nama Allah (Asmaul Husna) dan Sifat-Sifat Allah Taa'la yang layak bagi kemuliaan-Nya. (Rujuk Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Setiap Muslim itu berfikir tentang kehebatan ciptaan Allah Ta'ala, bukan memikirkan tentang Zat Allah sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. (Rujuk Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Nua'im di dalam Al-Halyah atau diriwayatkan oleh Asbahani di dalam Al-Taghrib wal Tarhib)

10. Setiap Muslim itu mengakui bahawa Sifat-Sifat Allah Ta'ala banyak terdapat di dalam Al-Quran yang menceritakan mengenai Kesempurnaan dan Keesaan-Nya. Semua itu tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas.

11. Setiap Muslim itu meyakini bahawa pandangan Ulama' Salaf adalah lebih utama untuk diikuti dalam menyelesaikan perbahasan mengenai penta'wilan dan pentha'tilan sesetengah ayat suci Al-Quran. Dalam masa yang sama, pandangan dari Ulama' Khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan perselisihan sehingga timbul kepada perbalahan antara dua golongan itu.

12. Setiap Muslim itu mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak menyekutu dengan sesuatu yang lain. (Rujuk Surah An-Nahl: Ayat 36)

13. Setiap Muslim itu takut hanya kepada Allah Taa'la dan tidak takut kepada yang lain. Takut kepada Allah bermaksud tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah Ta'ala. (Surah An-Nur: Ayat 52, Surah Al-Mulk: Ayat 12)

Bersambung...

Khamis, Januari 01, 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akidah! - Siri 1

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 19 syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam dari sudut Akidah seperti berikut: 

1. Setiap Muslim itu beriman bahawa pencipta alam itu adalah Allah Ta'ala dan tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Buktinya jelas pada kejadian alam yang penuh dengan keindahan dan keseimbangan. Adalah mustahil bahawa semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Allah Ta'ala. (Rujuk Surah Al-Anbiya: Ayat 22

2. Setiap Muslim itu beriman bahawa Allah tidak mencipta sesuatu kejadian alam itu secara sia-sia tanpa ada tujuan kerana itu adalah mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Adalah mustahil juga bagi kita untuk memahami tujuan Allah secara terperinci melainkan penjelasan dari Rasulullah S.A.W. dan wahyu daripada Allah Ta'ala sendiri. (Rujuk Surah Al-Mukminun: Ayat 115 - 116

3. Setiap Muslim itu beriman bahawa Allah Taa'la telah mengutuskan para Rasul dan Kitab-Kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah Ta'ala dan memahami matlamat dan asal-usul kejadian kita sebagai manusia. Setiap Muslim itu juga beriman bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah Rasulullah yang terakhir dan diutuskan kepadanya Al-Quran sebagai satu mukjizat yang berkekalan. (Rujuk Surah An-Nahl: Ayat 36)

4. Setiap Muslim itu beriman bahawa matlamat kejadian manusia adalah untuk mengenali Allah Ta'ala. (Rujuk Surah Az-Zariyat: Ayat 56 - 58)

5. Setiap Muslim itu beriman bahawa ganjaran bagi Mukmin yang taat adalah syurga dan bagi mereka yang kafir adalah neraka. (Rujuk Surah Asy - Syura: Ayat 7)

6. Setiap Muslim itu beriman bahawa setiap manusia itu melakukan kebaikan atau kejahatan dengan pilihan mereka sendiri. Namun, kebaikan itu tidak berlaku melainkan dengan taufik dan hidayah daripada Allah Ta'ala, kejahatan juga tidak akan berlaku melainkan dengan keizinan Allah jua. (Rujuk Ash - Shams: Ayat 7 - 10)

Bersambung....